#USAHAWAN 5 : TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY (SERBA BOLEH)


     CIRI USAHAWAN   : VERSATILITY (SERBA BOLEH)
USAHAWAN           : TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY





Nama beliau ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan berasal dari Alor Setar, Kedah. Beliau berkahwin dengan Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary dan mempunyai empat cahaya mata. Walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau ialah orang ketujuh terkaya di Malaysia dan ke-32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes). Kekayaannya telah mencecah RM1,425 juta dan memiliki beberapa syarikat antaranya ialah MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muamalat. Beliau yang juga merupakan pemilik Yayasan al-Bukhary terlibat dalam perniagaan berasaskan perladangan, pembinaan, kejuruteraan, infrastruktur dan pelabuhan.

 

VERSATILITY (SERBA BOLEH)


Beliau memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970. Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.

Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak. Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

Sepanjang kariernya, beliau mampu untuk menceburi pelbagai bidang pekerjaan yang memerlukan pengalaman dan kemahiran yang tinggi. Beliau telah membuktikan bahawa tahap pendidikan yang rendah tidak menghalang beliau untuk mencapai kejayaan. Seseorang memerlukan kesungguhan dan kemahiran untuk berjaya mencapai matlamat yang diidamkan.