#USAHAWAN 4 : DATUK YUSUF TAIYOOB (BERPANDANGAN JAUH)



      CIRI USAHAWAN   : FORESIGHT (BERPANDANGAN JAUH)

USAHAWAN           : DATUK YUSUF TAIYOOB

 



Nama beliau ialah Yusuf Taiyoob dan berasal dari Georgetown, Pulau Pinang. Beliau berkahwin dengan Datin Yusnita Ramli dan mempunyai tiga cahaya mata. Usahawan yang terkenal dengan perniagaan kurma ini berumur 53 tahun dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Beliau kini memiliki syarikat kepunyaan sendiri iaitu Yusuf Taiyoob Sdn Bhd dan merupakan Pengarah Urusan syarikat tersebut. Nama beliau memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta. Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

 

FORESIGHT (BERPANDANGAN JAUH)


Kepayahan dan keperitan yang dialami beliau untuk berjaya dalam bidang perniagaan bermula ketika berumur 21 tahun di mana beliau mula menceburi bidang penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Pada peringkat awal, perniagaan tersebut sangat memberangsangkan sehinggalah pada suatu hari beliau telah jatuh sakit akibat tekanan yang dihadapi kerana penjualan yang merudum teruk.

Selepas beliau gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah. Akhirnya, beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaannya dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan. Beliau seorang yang berpandangan jauh terhadap kemajuan perniagaannya untuk mengembangkan produk-produknya sehingga ke luar negara. Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti Lama-kelamaan, usahanya berhasil apabila perniagaannya berkembang maju dan produk keluarannya semakin popular termasuk di Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.